Harap tidak berlaku sabotaj di DUN Puteri Wangsa

0
478

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KONTROVERSI kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Keadilan

Rakyat (PKR) diyakini tidak akan berlarutan sehingga menjejaskan kempen atau akan berlaku sabotaj dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung Muda, Amira Aisya Abd Aziz menggangap, isu tersebut sudah selesai selepas persefahaman dicapai dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kerusi itu diberikan kepada Muda.

Beliau yang dicalonkan di kerusi DUN Puteri Wangsa berkata, semua pihak perlu memandang ke hadapan dan fokus kepada PRN Johor.

Pada masa sama, beliau menghormati Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Napsiah Kamis Maharan yang sebelum ini tidak berpuas hati kerusi tersebut diberikan kepada Muda.

“Saya amat menghormati semua rakan dalam parti-parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan kawan-kawan dalam PRN negeri Johor.

“Saya juga menghormati puan Napsiah dan saya tahu Napsiah telah melakukan banyak kerja-kerja baik di kawasan Puteri Wangsa. Namun begitu saya telah diamanahkan untuk membawa nama Muda dan juga nama ‘our partners’ di DUN Puteri Wangsa,

“Saya pasti Napsiah juga seorang yang sangat senior dalam politik dan beliau juga memahami amanah tersebut. Ia tidak akan mengganggu gerak kerja saya di sini dan pastikan gerak kerja diperkemas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkannya sebagai calon kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini malam tadi.

Amira Aisya, 27, merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

Pada 9 Februari, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Amanah yang menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda dan menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Amira Aisya bersyukur dan menganggap isu tersebut sudah selesai terutama selepas Muda mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DAP dan Amanah baru-baru ini.

“Dalam MoU tersebut kita juga telah tandatangani bahawa Muda akan membantu calon-calon DAP dan Amanah dan mereka juga akan membantu kami, ‘together we stronger’. Untuk PKR pula sebenarnya sesi rundingan bersama PKR belum tamat,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here