Janna Nick serik bergaduh dengan peminat

MENGAKUI pengalaman bertelagah dengan peminat merupakan antara cabaran yang paling ‘ngeri’ yang pernah dihadapi, Janna Nick menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran buat dirinya.

Paling diingati, apabila pergaduhan yang berlaku sebelum ini memberikan impak negatif kepada dirinya sehingga mencalarkan sedikit imej.

“Dugaan terhebat saya adalah bergaduh dengan netizen. Jadi, saya dah tak mahu nak bergaduh dengan sesiapa lagi.

“Kontroversi yang buruk itu sangat memberi impak kepada saya dan akan cuba elakkan selagi mana saya mampu dan akan lebih menumpukan kepada kualiti kerja,” katanya.

Terdahulu, Janna pernah berperang dengan peminat Kpop gara-gara menggunakan nama artis Korea dalam penerbitan sebuah telefilem tahun lalu.

Kisah tersebut bukan sahaja mendapat kecaman peminat dari Malaysia tetapi juga dalam masa yang sama mendapat perhatian daripada peminat di seluruh dunia.

Mahu meninggalkan kisah tersebut jauh-jauh, Janna mahu menjalani kehidupan dengan baik dan dalam masa yang sama terus mencorakkan kerjaya seninya.

Dia yang baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Gatal minggu lalu gembira apabila lagu tersebut mendapat sambutan baik daripada peminat.

Lagu ciptaan Aepul Roza itu berceritakan tentang wanita yang menolak godaan lelaki yang sudah berpunya.

“Memang ramai yang tanya kenapa saya sudah lama tak keluarkan single baharu. Sebenarnya ada kisah yang berlaku sebelum ini.

“Dulu bila melancarkan lagu saya disuruh berhenti menyanyi. Perkara tersebut memang memberikan kesan mendalam kepada diri.

“Waktu itu mungkin saya kurang bersedia dan latihan kerana terlalu sibuk sehingga menyanyi agak teruk. 

“Jadi, saya ambil keputusan untuk hasilkan single baharu sekiranya ada masa terluang dan menganggap sekarang adalah masa yang paling sesuai,” tambahnya lagi.