Siasat masalah pencemaran di Kuala Kurau jejas pendapatan nelayan

0
568

PERSATUAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menyiasat segera masalah pencemaran sisa buangan dari kilang memproses udang dan sotong di Batu 12½, Jalan Pantai Kuala Kurau.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang itu telah menimbulkan kebimbangan lebih 100 nelayan pantai di kawasan tersebut kerana mencemarkan laut berhampiran yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.

Ujar beliau, pihaknya dimaklumkan nelayan terlibat ketika tinjauan dilakukan yang mana pengusaha kilang di situ membuang sisa itu ke laut melalui saluran paip dan parit berdekatan.

Tambahnya, nelayan terbabit turut mendakwa sumber pendapatan mereka berkurangan hampir 50 peratus setiap kali kawasan tangkapan di situ dilanda pencemaran terbabit.

“Selain itu, mereka turut mengalami kerugian besar kerana sisa buangan dari kilang berkenaan melekat pada jaring dan tidak boleh digunakan lagi.

“Bahan buangan tersebut juga menimbulkan bau busuk disamping menjejaskan pembiakan ikan, udang, ketam serta siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan di situ dan penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohideen, CAP kesal dengan kejadian itu walaupun sudah lama berlaku dan dihadapi oleh nelayan-nelayan di kawasan terbabit, namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil.

Jelasnya, CAP percaya jika masalah itu dibiarkan akan merebak dan boleh mengancam alam sekitar serta menjejaskan kehidupan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Kita berharap siasatan segera dilakukan oleh JAS Perak dan tindakan tegas perlu diambil jika pengusaha kilang di situ didapati bersalah melanggar peraturan-peraturan yang termaktub dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Dalam masa sama jelasnya, pemantauan yang berterusan perlu dilakukan oleh JAS Perak; Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan pihak kilang tidak sewenang-wenangnya membuang sisa buangan dan masalah itu tidak berulang.

Selain itu tambahnya, Jabatan Perikanan juga perlu campur tangan supaya nasib nelayan-nelayan di kawasan berkenaan terbela dan pampasan yang setimpal wajar diberikan kepada mereka yang mengalami kerugian akibat pencemaran itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here