Lokman Adam diarah padam hantar fitnah Ketua Hakim Syarie

0
349

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Lokman Noor Adam supaya memadam kesemua hantaran berunsur fitnah membabitkan Ketua Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube milik bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, dalam tempoh 24 jam bermula hari ini.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im dalam kes samannya terhadap Lokman.

Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Jan lepas, Mohd Na’im  selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Akberdin berkata mahkamah membuat keputusan itu dalam prosiding secara dalam talian (Zoom).

“Anak guam saya memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang defendan (Lokman) atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan dalam apa jua cara sekali pun,” katanya menambah mahkamah menetapkan 7 Feb untuk pendengaran injunksi inter-parte (antara pihak) – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here