Dua lelaki didakwa bunuh rakan sekerja

0
253

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tapah, Perak hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerja mereka di sebuah kolam ikan di Bidor dekat sini, September tahun lepas.

N. Mageswaran, 31, dan M. Anbu, 30, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah yang kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh D. Gunasealan, 29, di kolam ikan Kampung Poh, Bidor antara  2 pagi hingga 7.30 pada 13 September 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala peguam J. Gunamalar mewakili  Anbu dan Mageswaran tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata mangsa dipercayai diculik dan dibunuh rakan sekerjanya disebabkan masalah berkaitan hutang.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here