Kalau ‘gentleman’, tunggu PRU kata penganalisis kepada pendesak PRN Johor

0
447

PIHAK yang begitu beriya-iya mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan segera dilihat sebagai tidak ‘gentleman’ dan hanya mementingkan diri.

Tindakan itu menurut mereka, jelas tidak bersimpati dengan kesengsaraan yang sedang dialami oleh rakyat khususnya di negeri Darul Takzim itu

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis, menyifatkan kumpulan berkenaan hanya mementingkan agenda politik peribadi dan kepartian sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.

MUJIBU ABDUL MUIS

“Sentimen rakyat melihat PRN bukan perkara utama bagi mereka ketika ini.

“Sesetengah orang politik ini hanya melihat kuasa sebagai matlamat, jadi mereka tidak peduli perkara lain berkait rakyat.

“Kalau parti-parti politik ini benar-benar gentleman dan pentingkan rakyat, sepatutnya tunggu sehingga Pilihan Raya Umum (PRU), kalau tak tahun ini pun, tahun hadapan,” katanya ketika dihubungi SatuBerita baru-baru ini.

Beliau mengulas tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam waktu terdekat.

Desas-desus itu semakin bertiup kencang ekoran kematian ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, 70, bulan lalu yang menyaksikan kerajaan Johor kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi.

Walaupun tidak menafikan bahawa PRN merupakan salah satu jalan penyelesaian kemelut politik, Mujibu berpendapat ia tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ketika rakyat memerlukan perhatian sepenuhnya daripada pemimpin.

“Kasihan rakyat, kenapa perlu buat pilihan raya? Kenapa perlu timbulkan pilihan raya? Apakah tidak boleh tunggu?

“Ahli politik seperti ini akan sentiasa melihat segala pilihan yang membolehkan mereka kekal berkuasa dan kukuhkan kuasa,” katanya.

Berpandangan sama, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian pula berkata, ahli politik harus mengetepikan agenda politik mereka dan mengutamakan rakyat.

SIVAMURUGAN PANDIAN

Menurutnya, baik pemerintah atau pembangkang, semua pihak harus menunjukkan kematangan dalam berpolitik dan menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai prioriti.

“PRN Johor tidak perlu diadakan kini kerana kita berhadapan dengan pelbagai isu yang memerlukan agenda rakyat diperlukan, agenda politik harus diketepikan.

“Sekurang-kurangnya tunjukkanlah kematangan berpolitik dalam kalangan pemimpin baik pemerintah ataupun pembangkang.

“Mereka perlu berikan tumpuan lebih dalam usaha memulihkan semula kesejahteraan masyarakat dalam keadaan terdesak seperti ini,” katanya kepada SatuBerita. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here