Johor batu loncatan UMNO untuk desak Ismail adakan PRU15′

0
249

DAP Johor percaya ada kumpulan tertentu dalam UMNO menggunakanJohor sebagai batu loncatan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Pilihan Raya Umum tidak lama lagi.

Menurut Setiausaha DAP negeri, Andrew Chen, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Mentei, Datuk Seri Najib Razak mahukan kemenangan dalam PRU akan datang agar mereka terlepas daripada pertuduhan rasuah di mahkamah.

“UMNO adalah dalang dalam mendesak pilihan raya mengejut di Johor. Parti itu mahu negeri berkenaan dijadikan batu loncatan untuk mencetuskan PRU yang bertentangan dengan kehendak Ismail Sabri. UMNO yang kini diterajui bekas Najib dan Zahid Hamidi mahu memenangi PRU bagi melepaskan diri masing-masing daripada hukuman penjara atas kes rasuah mereka.

“Puak UMNO yang dominan ini mempertaruhkan kepentingan rakyat. Mereka mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang budi bicara mutlaknya diperlukan jika DUN mahu dibubarkan, ke dalam permainan kuasa UMNO,” kata Andrew dalam kenyataannya pada Isnin seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini.

Kenyataannya, itu muncul ketika desas-desus mengenai pilihan raya mengejut di Johor semakin hangat diperkatakan.

Pembangkang di negeri itu menjangkakan dewan undangan negeri (DUN) Johor mungkin dibubarkan selepas Tahun Baharu Cina bulan depan.

Andrew mengulangi pendirian Pakatan Harapan (PH) dalam mesyuarat pimpinan tertingginya pada 27 Disember lalu, di mana gabungan itu berkata tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Johor.

“Banjir dan kesannya masih belum selesai di Johor, dan varian Omicron yang melanda dunia sudah pun berada di Malaysia. Kita perlu menangani keperluan rakyat terlebih dahulu.

“Pakatan Harapan Johor juga komited untuk tidak menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad ketika ini bagi mengelak ketidakstabilan di negeri itu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here