Guna basikal angkut barang curi

0
265

SEORANG lelaki hanya menggunakan basikal untuk mengangkut barang curi selepas memecah masuk sebuah rumah di Kubang Kerian, Kelantan, malam semalam.

Suspek berjaya diberkas orang awam kira-kira dua kilometer dari situ selepas menyedari rumah sebuah keluarga dipecah masuk ketika mereka keluar untuk makan malam.

Lelaki berusia 42 tahun itu berjaya diberkas penduduk kampung di kawasan tali air, bersama beberapa barangan yang dicuri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mangsa wanita berusia 47 bersama keluarga sebelum itu keluar untuk makan dalam keadaan rumah berkunci pada 8 malam.

“Sebaik pulang pada 11 malam, mereka terkejut apabila mendapati pintu rumah terbuka serta barangan dalam keadaan berselerak dan mengesyaki ia dipecah masuk.

“Pemeriksaan mendapati beberapa barangan hilang antaranya tiga utas jam tangan, dua unit telefon bimbit, sebentuk cincin, kasut serta beg yang keseluruhannya dianggarkan RM3,000,” katanya memetik laporan HM, hari ini.

Mohd Suhaimi berkata, susulan itu, dua anak lelaki mangsa bersama penduduk kampung keluar mencari suspek di kawasan sekitar.

Menurutnya, mereka menemui seorang lelaki tidak dikenali sedang menunggang basikal sebelum menemui semua barangan yang hilang dan suspek diserah kepada pihak polis.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamin dan memiliki 11 rekod jenayah bersabit dadah serta jenayah.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here