Panggilan spam akibatkan kerugian jutaan ringgit

0
354

PENGGUNA di luar sana pastinya sudah terbiasa menerima panggilan spam yang bertujuan untuk menipu mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa, kemudian memaksa mangsa mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

Selain itu, wujud juga kegiatan penipuan untuk memperdayakan mangsa dengan melakukan penyamaran sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti polis, jabatan kastam, Bank Negara Malaysia, mahkamah dan sebagainya.

Menurut Polis Diraja Malaysia, setakat 24 Mac 2021, sebanyak 1,392 kes penipuan
melalui panggilan telefon telah dilaporkan kepada pihak polis dengan kerugian berjumlah RM38.19 juta.

Manakala sebanyak 5,725 kes penipuan melalui panggilan telefon telah dilaporkan sepanjang tahun 2019 melibatkan kerugian sebanyak RM254.58 juta dan 6,003 kes dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM287. 30 juta sepanjang tahun 2019.

Selain itu, peningkatan yang jelas dalam jumlah panggilan spam pada bulan Mac 2021 menunjukkan kaitannya dengan kenaikan jumlah jangkitan Covid-19 pada bulan Mac yang telah membuatkan orang ramai panik dan memudahkan sindiket penipuan spam untuk memanipulasi peluang tersebut.

Sementara itu, menurut laporan Spam Global tahunan penyedia aplikasi pengesanan panggilan, TrueCaller pula mendedahkan bahawa sindiket penipuan juga telah membuat penyesuaian untuk pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Malaysia tidak termasuk dalam senarai 20 negara yang paling banyak menerima panggilan spam di seluruh dunia.

Namun, ianya tidak bermakna rakyat Malaysia tidak terjejas dengan spam. Malah, purata panggilan spam bagi setiap pengguna setiap bulan menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-32 yang bermakna setiap rakyat Malaysia menerima purata 3.5 panggilan spam setiap bulan.

Laporan Global Spam Report turut menyatakan 99 peratus panggilan spam yang diterima oleh rakyat Malaysia merupakan panggilan domestik manakala satu peratus lagi adalah dari luar negara.

Secara purata, pengguna Truecaller di Malaysia menerima lebih 8 juta panggilan spam sebulan, dan 9 daripada 10 panggilan spam di Malaysia telah dikenal pasti dengan betul oleh Truecaller. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here