Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

0
515

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Bera, pada 11 Disember lalu mengejutkan lamunan dan semarak nafsu beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

Pengakuan jujur Perdana Menteri bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan hempedu yang sukar ditelan.

Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ daripada parti lain.

UMNO Bersatu
Gambar hiasan: Carian internet

Menurut Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO dapat menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan bersama-sama parti lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti keramat itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.

“Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya.

Pendedahan berani Ismail Sabri itu, memberikan satu tamparan hebat terutama pemimpin-pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.

Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.

Bagi Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya sebenar adalah sebaliknya.

Md. Nasir Hashim

Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa namun apabila sudah berada semula di tampuk kuasa, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan dibina sebelum ini.

“Sebagai contoh Bersatu berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Satu Berita, hari ini.

Sepatutnya kata beliau, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.

Razrul Anuar Rusli

“Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi Bersatu juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.

“Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat rentetan daripada kerajaan Melaka jatuh yang disebabkan pemimpin UMNO sendiri yang tarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

“Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan pada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita,” katanya.

Menutup bicara, beliau melontarkan persoalan: “Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here