[VIDEO] 60 mangsa terbakar hidup-hidup ketika kaut minyak dari lori tangki terbalik

0
876

SEKURANG-kurangnya 62 orang maut manakala puluhan lagi dilaporkan cedera dalam kejadian letupan lori tangki petrol di Cap-Haitien, Haiti pada Isnin.

Menurut pihak berkuasa tempatan, jumlah itu adalah angka terkini bagi jumlah kematian sejak kejadian.

Timbalan Datuk Bandar, Patrick Almonor berkata, kejadian berkenaan berlaku apabila sebuah lori tangki petrol terbabas dan terbalik selepas pemandu hilang kawalan ketika mengelak sebuah teksi motosikal.

Tangki yang terbalik itu menyebabkan muatan minyak tumpah ke atas jalan sebelum orang ramai mengambil kesempatan untuk mengautnya ekoran kekurangan bekalan petrol serta kos bahan api itu yang tinggi akibat perbuatan sekumpulan penjenayah di Port-au-Prince.

Menurut beliau lagi, lori tangki itu tiba-tiba meletup ketika orang ramai sedang mengumpulkan minyak yang tertumpah di atas jalan.

Almonor menambah, sekurang-kurangnya 40 buah rumah di kawasan sekitar turut musnah, namun masih tiada butiran berkenaan dengan jumlah mangsa yang mungkin berada di dalam rumah yang terlibat.

Menurut laporan agensi berita AFP, Hospital Universiti Justinien dibanjiri oleh mangsa yang tercedera dan jururawat mengakui hospital berkenaan tidak mampu untuk merawat mangsa kejadian yang ramai terutama yang melecur teruk.

Jumlah kematian juga dijangka meningkat.

Sementara itu, jurucakap Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ndiaga Seck berkata, pihaknya akan menghantar kit perubatan kepada hospital-hospital di Cap-Haitien bagi merawat mangsa yang melecur.

Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry telah mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara ekoran kejadian yang disifatkan meluluhkan hatinya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here