Bot karam:10 PATI maut, 29 masih hilang

0
384

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) mati lemas manakala 21 lagi selamat selepas bot yang dinaiki karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kejadian itu pada pukul 4.30 pagi.

Satu daripada mayat lelaki dewasa yang ditemukan lemas

“Sebuah bot yang membawa 60 PATI dilapor karam akibat cuaca buruk di Tanjung Balau. Seramai 21 orang dilaporkan selamat dan 10 mayat telah ditemui pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Seramai 29 mangsa masih tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pukul 8.50 pagi dengan mengatur gerak pesawat AW 139 AGUSTA, kapal KM TEGAS dan bot Petir 50 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang terlibat.

Seramai 10 PATI ditemukan lemas manakala 29 lagi masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini

Sementara itu, Ketua Bomba Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Al Hasra Mohamed berkata, seramai tujuh anggota bersama-sama 40 anggota TDM dikejarkan ke tempat kejadian.

“10 mayat yang ditemukan itu terdiri daripada empat wanita dan enam lelaki manakala 21 mangsa yagn terselamat terdiri daripada 19 lelaki dan dua wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here