Tiada jaminan MoU dengan PH kekal hingga Julai 2022

0
294

MEMORANDUM persefahaman (MoU) yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dengan Putrajaya dikhuatiri tidak akan bertahan sehingga Julai tahun depan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Dusuki berkata, PH kelihatan tidak serius dalam usaha mempertahankan MoU tersebut susulan tindakan gabungan itu membenarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN) di Melaka jatuh pada awal Oktober lalu.

“Kita tidak tahu bahawa MOU itu benar-benar dapat dipastikan (bertahan) sehingga bulan tujuh (Julai) atau tidak.

“(Hal itu kerana) Kita dapat lihat di pilihan raya negeri (PRN) Melaka umpamanya, walaupun MOU telah dimeterai di antara kerajaan persekutuan dan PH, tetapi kerajaan Melaka runtuh juga,” katanya dalam program bual bicara disiarkan Astro Awani malam tadi.

Bual bicara berkenaan turut dihadiri Ketua Pemuda PH, Howard Lee yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Perak.

Menurut Asyraf Wajdi, kerajaan Melaka runtuh ekoran perjanjian PH untuk menyokong Idris Haron menjadi Ketua Menteri di sebalik kedudukan ADUN itu sebagai ahli UMNO.

Sehubungan itu, dakwa Asyraf Wajdi, kerajaan Melaka jatuh dan menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan.

“Kalau benar MOU itu dipatuhi dan dihormati, saya kira tidak timbul soal PRN Melaka walaupun ada empat orang keluar dari kerajaan negeri,” katanya.

Sebagai rekod, MoU antara PH dan kerajaan pusat ditandatangani pada 14 September lalu dengan menggariskan beberapa ikrar daripada dua-dua pihak.

Antara intipati ikrar ialah kerajaan berjanj untuk tidak membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) sehingga sekurang-kurangnya 21 Julai 2022 bagi memberi ruang kepada pelaksanaan pelbagai pembaharuan yang dituntut PH.

Manakala PH berjanji tidak akan menyekat sebarang agenda utama kerajaan sebagai balasan.

Sementara itu, Lee berkata kerjasama yang dimeterai itu terlaksana di peringkat pusat dan membabitkan tatakelola kerajaan persekutuan.

Katanya, jika MoU berkenaan dianggap terbatal, beliau persoal mengapa Putrajaya tidak mengisytiharkannya sudah berakhir.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee.

Menurut Lee lagi, BN turut dilihat mempunyai cubaan untuk mengelak untuk menunaikan janji mereka dalam MoU berkenaan walaupun ia sudah dipersetujui bersama apabila mereka mendesak PRU perlu diadakan segera.

“Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak mahu melihat satu lagi Pilihan Raya diadakan semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah ketua Pemuda DAP itu lagi, akta antilompat parti yang dijanjikan kerajaan dalam MOU berkenaan sepatutnya diluluskan terlebih dulu di parlimen sebelum PRU diadakan.

Ditanya sama ada PH bersikap hipokrit kerana mendesak akta antilompat parti tetapi pada masa sama menerima Idris dan Nor Azman Hassan sebagai calon mereka di Melaka baru-baru ini, Lee berkata: “Ada sedikit.”

“Ada sedikit, saya mengaku, katanya.

Katanya yang juga ketua Pemuda PH, DAP tidak pernah bersetuju serta telah menolak untuk menerima Idris dan Nor Azman sebagai calon PH, namun mereka perlu akur apabila dua daripada tiga parti bersetuju menerima mereka kerana tertakluk kepada prinsip demokrasi.

“Akhirnya kita tengok rakyat Melaka dah buat keputusan, hukuman telah dikenakan sama ada kepada kedua-dua mereka atau PH,” katanya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here