Sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung, Aishah akui rumah tangga bergolak

Penyanyi Aishah yang popular dengan lagu Janji Manismu mengakui yang rumah tangganya kini sedang berhadapan dengan masalah apabila tidak lagi tinggal sebumbung dengan suaminya sejak tiga bulan yang lalu.

Tidak mahu mendedahkan sedara terperinci apa sebenarnya yang berlaku, dia reda dengan apa sahaja ketentuan meskipun sudah lima tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.

“Benar, kami sudah berpisah, cuma, talak belum dilafazkan. Kami sudah tinggal berasingan sejak tiga bulan lalu. Tiada siapa berkahwin untuk bercerai. Saya juga mengimpikan perkahwinan keempat kekal hingga akhir hayat.

“Jadi, usah ditanya apa punca perpisahan ini. Saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa. Anggap sahaja antara kami sudah tiada jodoh,” katanya dipetik Berita Harian.

Tambahnya, dia ada memberikan bayangan mengenai kemelut yang sedang dihadapinya itu sebelum ini menerusi Instagram.

Perkara tersebut dilakukan bukan bertujuan untuk membuka aib sendiri tetapi untuk mengelakkan fitnah pada masa hadapan.

“Jika boleh saya tidak mahu kisah rumah tangga jadi tatapan umum. Namun, saya akan menerima kesannya hanya kerana saya seorang selebriti.

“Saya memang memberi sedikit bayangan menerusi hantaran dimuat naik dalam laman Instagram (IG). Mana yang tahu, tahulah.

“Pengakuan dibuat selepas saya berfikir panjang dan tidak mahu timbul fitnah jika ada melihat saya bersama lelaki lain dalam urusan kerja.

“Siapa tidak sedih melihat mahligai yang dibina berantakan. Tetapi, saya akur dengan ketentuan Tuhan,” katanya.

Untuk rekod, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin sudah berkahwin empat kali dan dikurniakan dua cahaya mata, Armand Azhari dan Azhad Ahlami.