Maritim Malaysia Pulau Pinang tahan bot bawa 7 penumpang tanpa lesen

0
466

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot yang membawa penumpang tanpa lesen sah pada kedudukan 1.3 batu nautika timur Batu Maung semalam.

Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang yang sedang melakukan Op Pertiwi kira-kira pukul 5.55 petang.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, ketika diperiksa bot dikendalikan tekong yang membawa tujuh penumpang warga tempatan berumur antara 38 hingga 56 tahun itu gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang.

Bot penumpang tanpa nombor pendaftaran itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia Pulau Pinang

“Bot itu dan kesemua mereka kemudiannya diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot yang sah.

Bot dan kesemua mereka diiring ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum tekong dan penumpang dibawa ke ibu pejabat Maritim Malaysia Pulau Pinang

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut manakala penumpang harus peka dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.

Jelasnya, ia bagi memastikan tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan, orang ramai diminta segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here