Maritim Malaysia Pulau Pinang rampas 75 set bubu naga

0
234

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang merampas sebanyak 75 set bubu naga di tujuh lokasi sekitar 3.7 hingga 4.7 batu nautika barat laut Sungai Kerian antara pukul 3.40 petang hingga 6 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat hasil aduan awam serta pemantauan semasa rondaan rutin Op Pertiwi di perairan Pulau Pinang.

Menurut beliau, bubu naga dengan anggaran nilai RM9,000 itu dirampas serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut. 

“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abd. Razak, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan ujar beliau, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan,” katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram itu dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – SB           

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here