[VIDEO] Dr. Aleef janji sistem agihan bantuan lebih telus, adil

0
348

MEMASTIKAN sistem agihan bantuan kerajaan dilaksanakan dengan telus dan adil kepada semua kelompok masyarakat antara misi calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof.

Menurutnya, sepanjang bertemu pengundi, beliau banyak menerima aduan tentang soal ketirisan dan ketidakadilan dalam soal agihan bantuan daripada kerajaan.

“Ramai melahirkan kekecewaan kerana tidak mendapat bantuan dan sebagainya. Tetapi saya tidak menyalahkan mana-mana pihak cuma saya berikrar memastikan mana-mana peruntukan yang akan disalurkan kelak akan disalurkan kepada mereka tanpa ketirisan tanpa mengira parti, agama bangsa,” katanya kepada SatuBerita.

Dr. Aleef menambah, selain itu ramai penduduk setempat turut menyuarakan kekecewaan kerana terpaksa melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu doktor perubatan berusia 35 tahun itu berkata, agenda menjaga kebajikan dan hak warga Angkatan Tentara Malaysia akan menjadi keutamaan jika dipilih kelak.

Katanya, sebagai benteng pertahanan negara, warga ATM perlu dihormati dan sehubungan itu beliau akan memastikan kebajikan warga ATM sentiasa dijaga dan mendapat perhatian kerajaan negeri kelak.

Selain itu katanya, kebajikan peniaga kecil dan penjaja jalanan di DUN Sungai Udang akan menjadi perhatian utama.

Menurutnya, ramai terjejas mata pencarian dan sumber pendapatan kerana pandemik Covid-19 memilih untuk berniaga kecil-kecilan.

“Saya akan usahakan yang terbaik untuk menambahkan lagi kemudahan-kemudahan supaya peniaga kecil ini dapat berniaga lebih baik dan membantu usahawan usahawan peniaga di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Aleef turut menasihatkan penduduk Sungai Udang supaya tidak gentar untuk mengundi pada Sabtu ini.

Katanya, semua usaha sudah dilakukan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan keselamatan pengundi daripada penularan virus Covid-19.

“Buatlah keputusan yang tepat dan bijak, saya calon muda, bersedia untuk anda, undilah PN,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here