Ikrar PN: Tawar kepimpinan berintegriti, prihatin rakyat

0
512

PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan kepimpinan berintegriti dan prihatin rakyat kepada rakyat Melaka.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran Kerajaan negeri Melaka adalah tunjang penting menjayakan setiap strategi dan pendekatan yang dirancang.

Beliau yakin, rakyat negeri Melaka telah berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.

Justeru itu katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini adalah peluang terbaik rakyat di negeri Melaka memperbetulkan keadaan.

“Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan.

“Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri.

Baca berita berkaitan: Ikrar PN: Jamin ekonomi Melaka utuh, mampan
Baca berita berkaitan: Ikrar PN: Meletakkan Melaka dalam ranking 3 negeri terbaik peperiksaan awam
Baca berita berkaitan: Ikrar PN: Pulih, rancak kembali pelancongan Melaka
Baca berita berkaitan: Ikrar PN: Tingkatkan penggunaan teknologi hijau demi kelestarian alam sekitar
Baca berita berkaitan: Ikrar PN: Atasi masalah banjir, kesesakan lalu lintas, akses internet
Baca berita berkaitan: Perikatan Nasional ikrar bawa Melaka Bangkit Gemilang
Baca berita berkaitan: PN tubuh jawatankuasa bebas pastikan ikrar dilaksana gigih dan telus

“Kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Kepimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat inilah yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional kepada seluruh rakyat di negeri Melaka. Inilah ikrar dan komitmen Perikatan Nasional,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Ikrar PN Untuk Melaka di Glenmarie Shah Alam hari ini.

Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran merupakan tunjang keenam yang menjadi teras Ikrar PN Untuk Rakyat Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Dengan slogan Melaka Bangkit Gemilang, ikrar berkenaan manifestasi kesungguhan PN menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.

Muhyiddin berkata, agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat.

Katanya, pemerkasaan ini juga turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.

“Ini adalah aspek penting kewujudan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang berpaksikan kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi asas sebuah pentadbiran kerajaan yang baik atau good governance,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here