Ikrar PN: Meletakkan Melaka dalam ranking 3 negeri terbaik peperiksaan awam

0
343

PERIKATAN Nasional (PN) berikrar meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka dalam ranking 3 negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi membina bakat masa hadapan yang hebat dalam kalangan anak watan Melaka, pendidikan merupakan asas penting yang wajib diperteguhkan.

“Keprihatinan rakyat adalah prinsip utama Ikrar PN. Dalam konteks ini, PN akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi serta pendidikan untuk setiap lapisan masyakarat diberikan perhatian sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Ikrar PN Untuk Melaka di Glenmarie Shah Alam hari ini.

Baca berita berkaitan: Perikatan Nasional ikrar bawa Melaka Bangkit Gemilang
Baca berita berkaitan: PN tubuh jawatankuasa bebas pastikan ikrar dilaksana gigih dan telus

Keprihatinan Rakyat merupakan tunjang kedua daripada enam tunjang yang menjadi teras Ikrar PN Untuk Rakyat Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Dengan slogan Melaka Bangkit Gemilang, ikrar berkenaan manifestasi kesungguhan PN menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.

Berikut lain-lain ikrar di bawah tunjang Keprihatinan Rakyat

Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan di negeri Melaka melalui kerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan dan pihak swasta tempatan dan antarabangsa.

Perhatian akan diberikan kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bagi memastikan persekitaran yang kondusif, bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Selain itu, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada Guru Tahfiz, Guru KAFA dan juga Guru Tadika di bawah seliaan JAIM. Ini adalah bagi menghargai jasa dan bakti guru-guru untuk mendidik anak-anak dalam apa jua keadaan.

Mewujudkan Dewan Undangan Negeri Belia Melaka bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka.

Bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikurangkan. Ini bagi meringankan beban kewangan dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berniaga.

Menyedari dalam tempoh yang sukar ini, perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan kepada sebahagian rakyat, PN akan memberikan bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021.

Keprihatinan Perikatan Nasional kepada rakyat adalah merangkumi semua golongan masyarakat, termasuklah belia dan wanita. Ini turut melibatkan golongan suri rumah, ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

Perhatian turut diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here