Ah long maut ditetak depan dua anak

0
233

SEORANG ah long maut ditetak depan dua anaknya dalam pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Bukit Tinggi, Klang awal pagi ini.

Orang awam yang melihat kejadian tersebut kemudian menghubungi pihak polis pada pukul 12.34 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa berumur 47 tahun itu datang ke restoran berkenaan bersama-sama dua anaknya yang masing-masing berumur 10 dan 18 tahun.

“Selesai makan sekitar pukul 12.20 pagi, mangsa dan dua anaknya berjalan kaki ke kereta jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di hadapan restoran berkenaan.

“Ssebaik hendak membuka pintu kereta miliknya, mangsa didatangi tiga individu bersenjatakan parang sebelum dua daripadanya bertindak menetak mangsa.

“Mangsa kemudiannya bertindak melarikan diri dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati terdapat empat suspek terlibat dalam kejadian tersebut, seorang daripadanya dipercayai pemandu yang menunggu dalam kereta di belakang kereta mangsa di tepi jalan raya menghala keluar ke Persiaran Batu Nilam.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, siasatan turut mendapati mangsa bekerja sebagai pemberi pinjaman wang atau ah long yang mempunyai pejabat di kawasan Bukit Tinggi Klang, Shah Alam dan Kajang.

Beliau berkata, mangsa turut didapati mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here