Tanpa tabur janji, PN bukti mampu tadbir negara, bantu rakyat – Abdul Hadi

0
414

PAS hari ini mengajak rakyat Melaka berani melakukan perubahan dengan mengundi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PN telah membuktikan dalam masa singkat kemampuan mentadbir negara dan membantu rakyat.

“Kita (PN) telah berjaya menunjukkan bukti berkhidmat kepada rakyat dengan tidak berjanji, kita tunai tanpa janji.

“Menunaikan kewajipan adalah lebih baik daripada mereka berjanji tetapi tidak menunaikan janji,” katanya berucap secara maya pada majlis pengumuman calon PN bagi PRN Melaka di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Abdul Hadi berkata, PN adalah simbol perpaduan rakyat dan satu gabungan politik yang tepat dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, di sebalik usaha memecah kekuatan PAS menerusi penubuhan parti Islam lebih liberal oleh DAP, PAS tetap teguh termasuk di Melaka.

“Di Melaka akan ada kawasan PAS akan jadi penentu. Undi popular PAS besar juga di Melaka.

“PAS tak boleh buat sendiri dan membuat perubahan. Kita mesti bergabung. Gabungan dipilih mesti besar dan kuat yang mampu buat pembaharuan. PAS memilih bersama PN.

“Saya menyeru kepada rakyat Melaka supaya mengundi simbol PN dalam PRN Melaka. Inilah simbol bersama kami dengan parti Bersatu, Gerakan dan parti bergabung dengan kita,” katanya.

Sementara itu, pada PRN Melaka, PAS meletakkan lapan calon seperti berikut:

1) Kuala Linggi – Aziah Mohd Sa’ad
2) Taboh Naning – Abu Hashim Abdul Samad
3) Durian Tunggal – Ja’afar Othman
4) Kelebang – Bakri Jamaluddin
5) Bukit Katil – Muhammad Al Afiz Yahya
6) Duyong – Datuk Kamarudin Sedik
7) Serkam – Ahmad Bilal Rahaudin
8) Merlimau – Abd Alim Shapie

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here