Mayat di perhentian bas

0
427

SEORANG lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan luka pada badan, di perhentian bas Jalan Lencongan Timur berhampiran Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Kedah, hari ini

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat itu ditemui orang awam yang kemudian menghubungi polis jam 11.05 pagi.

Pemeriksaan polis mendapati mangsa ada kesan lebam di mata kanan serta calar di kaki dan siasatan lanjut mendapati mangsa pernah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim Isnin lalu.

“Mangsa diberikan rawatan di hospital terbabit kerana mengalami kecederaan di kepala, lebam mata serta turut menerima jahitan di bawah mata sebelum dia dibenarkan keluar wad Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Adzli berkata, mangsa datang semula ke hospital hari ini kerana mahu mendapatkan rawatan akibat sakit lutut dan pemeriksaan lanjut dengan pihak HSAH terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat dipukul.

“Bagaimanapun, hasil semakan lanjut tiada sebarang laporan polis dibuat mangsa berhubung kes pukul terhadapnya.

“Pemeriksaan mendapati mangsa berusia 39 tahun dan berasal dari Taman Mutiara Skudai, Johor dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.

Katanya, ujian COVID-19 akan dilakukan terlebih dahulu sebelum mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here