PRN Melaka: Srikandi Bersatu kemuka enam nama calon

0
306

SRIKANDI BERSATU mengemukakan enam muka baharu untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan parti sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini. 

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata pencalonan itu mengambil kira beberapa faktor iaitu individu dikenali, berpotensi menang dan anak tempatan. 

“Di Melaka tidak ada wakil rakyat wanita, jadi muka baharulah (yang dicalonkan).

“Kita harap akan diberi peluang kepada Srikandi, bukan sekadar untuk menjadi calon tetapi menang, berkhidmat untuk rakyat di Melaka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), Sepang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong, hari ini. 

Ditanya jumlah kerusi diperuntukkan untuk calon Srikandi, Rina berkata setakat ini belum ada pengumuman mengenainya. 

Mengulas calon wanita daripada Perikatan Nasional (PN), Rina yang juga Ketua Wanitanya berkata, perkara itu telah dikemukakan, bagaimanapun jumlahnya masih belum diputuskan. 

“Kita juga mengemukakan calon wanita daripada PN dan berharap mendapat sokongan supaya lebih ramai wakil rakyat daripada golongan wanita. 

“Wanita perlu diberi peluang dan saya yakin jika diberi peluang mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here