Jangan sensasikan kejadian bakar senaskah al-Quran

0
376

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS meminta orang ramai tidak mensensasikan atau membuat spekulasi liar berkenaan kejadian senaskah al-Quran yang dibakar di kawasan riadah Tasik Taman Sri Impian, Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kegusaran orang ramai.

Beliau memberitahu, setakat ini pihaknya sudah menerima enam laporan polis daripada saksi kejadian dan lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung kes berkenaan.

“Satu daripada laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan kejadian itu ketika bersenam di kawasan tasik berkenaan.

“Wanita berkenaan terjumpa senaskhah al-Quran yang dibakar dan hanya tinggal cebisan kertas dan ayat saja.

“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kita minta mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu tampil bagi membantu siasatan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan kes ini dari pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pukul 7.45 pagi semalam, seorang pengunjung, Syarifuddin Kasimin, 41, bersama-sama isterinya sedang berjoging melalui kawasan riadah berkenaan sebelum ternampak kepulan asap seperti sampah terbakar.

Dia dan isteri, Siti Wahidah Wahid, 36, mendakwa, mereka menghampiri objek tersebut dan buat pemeriksaan mendapati benda yang terbakar itu adalah senaskah al-Quran yang dibakar individu tidak bertanggungjawab.

Selepas berbincang pasangan berkenaan akhirnya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian tersebut dan telah mengarahkan Pejabat Kadi Daerah untuk mengambil tindakan selanjutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here