[VIDEO] Parlimen dijangka kembali hangat dengan beberapa isu tumpuan

0
285

SIDANG Parlimen ke-14 yang akan berlangsung pada 13 September ini dijangka kembali jadi hangat dengan perbahasan beberapa isu tumpuan.

Persidangan yang diadakan dua hari selepas sambutan ulang tahun ke-62 Parlimen itu, dijadual menumpukan isu pemulihan negara susulan penularan pandemik COVID-19 serta pakej-pakej bantuan yang disediakan untuk kelangsungan hidup rakyat.

Antara lain, perkara yang bakal jadi hangat pada sidang kali ini ialah:

  1. Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

Setakat ini dua nama disebut-sebut bakal dicalonkan iaitu Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang merupakan calon blok kerajaan dan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming calon Pakatan Harapan (PH).

Jika dua nama itu dicalonkan, persidangan dewan pada Selasa, sehari selepas perasmian, akan menyaksikan pengundian dalam kalangan 220 Ahli Parlimen bagi memilih Timbalan Yang di-Pertua.

  1. Usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri.

Tumpuan juga kepada kemungkinan usul berkaitan keabsahan Perdana Menteri dibawa pada sidang kali ini.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mengemukakan undi percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

Menurut Wan Junaidi, ia memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong dan justeru itu pelantikan Ismail Sabri adalah mengikut lunas undang-undang.

  1. Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja.

Menurut takwim mesyuarat Dewan Rakyat yang dimuat naik ke laman web rasmi Parlimen Malaysia, ahli-ahli Dewan Rakyat akan mengambil bahagian dalam Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja selama empat hari mulai 14 September, sebelum sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 22 dan 23 September.

  1. Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)

Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021-2025 oleh kerajaan, dijadual bakal berlangsung pada 27 September.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata,Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan pihaknya agar mengutamakan tumpuan kepada RMK12 dan Belanjawan Pembangunan 2022 dalam 100 hari pertama selepas pelantikan ahli-ahli Kabinet.

Mustapa berkata, fokus utama RMK12 itu termasuk merapatkan jurang pembangunan antara negeri dan kawasan di negara ini serta memastikan keperluan asas dapat dinikmati oleh rakyat.

  1. Usul Undi-18 dan had jawatan Perdana Menteri

Dua hari terakhir mesyuarat kali ini iaitu pada 11 dan 12 Okt pula isi dengan rang undang-undang dan urusan-urusan kerajaan yang lain.

Kabinet pada Sabtu, bersetuju untuk melaksanakan Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan bagi mengembalikan kestabilan politik negara dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ismail Sabri menawarkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan, termasuk pelaksanaan Undi-18 dalm tempoh terdekat serta had tempoh jawatan Perdana Menteri.

Satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan susulan keputusan pelaksanaan Undi-18 dalam tempoh terdekat serta Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here