Situasi Covid-19 negara tunjuk perkembangan positif

0
463

HANYA 100 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehigga 12 tengah hari semalam di seluruh negara manakala 492 kematian lagi adalah kes tertunggak.

Angka yang dikongsikan dalam laman web COVIDNOW Kementerian Kesihatan (KKM) itu merupakan data yang belum dibersihkan, dalam tempoh 24 jam semalam sebelas negeri merekodkan peningkatan kes kematian berbanding sehari sebelumnya.

Perkembangan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan angka korban disebabkan Covid-19 di negara ini mencecah 20,419 kes.

Sehubungan itu, KKM dilaporkan sedang melakukan proses pembersihan data kes tertunggak bagi memastikan laporan kes berkaitan Covid-19 lebih tepat dan telus.

KKM turut menjangkakan kes harian Covid-19 akan mencatatkan jumlah lebih tinggi bagi tempoh beberapa hari lagi, sehingga proses nyahdata itu selesai dilakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM melaporkan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini turut menunjukkan penurunan semalam, iaitu sejumlah 239,351 kes berbanding 242,161 kes pada Jumaat.

Daripada jumlah kes aktif itu, 199,480 atau 83.3 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (25,602), hospital (12,997), unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan alat bantuan pernafasan (548) serta ICU tanpa bantuan pernafasan (724).

Seramai 21,771 lagi pesakit Covid-19 disahkan sembuh menjadikan keseluruhannya daripada 1,955,881 kes positif, 1,700,730 pesakit disahkan sembuh sepenuhnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here