Enam lelaki termasuk lima warga asing ditahan berpakaian wanita

0
209

SERAMAI enam lelaki termasuk lima warga Indonesia ditahan kerana berpakaian menyerupai wanita dan dipercayai terlibat dengan aktiviti tidak bermoral sekitar bandar Kuantan, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Muhammed Rizal Kamarudin berkata kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 35 tahun ditahan menerusi Op Pasar yang dijalankan secara bersepadu melibatkan 30 pegawai dan anggota penguat kuasa termasuk polis, imigresen dan Majlis Bandaraya Kuantan.

“Semua suspek ditahan di lorong sekitar Pasar Besar Kuantan dan dipercayai sedang menunggu pelanggan bagi kegiatan tidak bermoral yang menimbulkan keresahan rakyat sekitar sehingga viral di media sosial.

“Lima suspek warga asing terlibat juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini malam tadi, selepas tamat operasi empat jam yang berakhir pada kira-kira 7 malam tadi.

Muhammed Rizal berkata semasa operasi itu, suspek bertindak melarikan diri, termasuk ada yang cuba memanjat bumbung sebuah bangunan berhampiran, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Siasatan awal juga mendapati suspek warga tempatan mempunyai tiga rekod kesalahan lampau melibatkan kesalahan berpakaian menyerupai wanita bagi aktiviti tidak bermoral.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan aib selain lima warga asing tersebut disiasat di bawah Seksyen 61(1) (c) Akta Imigresen kerana tiada pas perjalanan yang sah serta Seksyen 15 (1)(c) kerana tinggal lebih masa. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here