Nancy galas tugas getir hidupkan sektor pelancongan

0
549

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berjanji akan melakukan yang terbaik setelah dikekalkan kedudukannya sebagai anggota jemaah menteri bagi portfolio tersebut.

Dalam pada itu, Nancy merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaako atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Menteri yang dilantik hendaklah menunjukkan prestasi yang baik dalam tempoh 100 hari.

“Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik bagi mendepani cabaran membantu sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam masa sama, Nancy menyeru agar kesemua pasukan kerja di bawah kementerian itu untuk bekerjasama dan maju ke hadapan bagi merealisasikan impian kementerian itu pada masa akan datang.

Nancy sebelum in bertugas dalam kementerian berkenaan selama 161 hari sejak dilantik pada 9 Mac 2020 sehingga bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Batang Sadong merangkap ahli politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu antara 11 Ahli Parlimen dari Sarawak yang dikekalkan dalam barisan menteri Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri hari ini.

Ismail Sabri pada Jumaat mengumumkan anggota Kabinet beliau selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here