Serapkan semangat Keluarga Malaysia kepada atlet: MSN, SAM

0
309

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyambut baik pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu dalam senarai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada Ahmad Faizal bagi memacu kemajuan sukan tanah air.

“Kami berharap di bawah kepimpinan menteri baharu ini, kita akan dapat menerapkan semangat keluarga Malaysia dalam kalangan warga sukan negara.

“Kemajuan sukan adalah kemajuan warga sukan keseluruhannya dan kemajuan keluarga Malaysia secara amnya,” kata Shapawi memetik laporan BH Sukan.

Ahmad Faizal, 51, dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan bagi menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Perak sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Faizal yang sebelum ini pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) adalah Ahli Parlimen Tambun dan juga Ahli Dewan Negeri Negeri (ADUN) Chenderiang.

Perdana Menteri turut mengumumkan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu bagi menggantikan Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abdul Manap, berkata pihaknya percaya kehadiran Ahmad Faizal dapat meneruskan kecemerlangan menteri terdahulu seterusnya membawa arena sukan negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Sudah tentu kami berasa amat gembira mendapat seorang Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memiliki iltizam dan visi untuk memajukan sukan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here