Siapa empat Ahli Parlimen belum ambil vaksin?

0
295

BIARPUN bekalan dua dos vaksin telah diperuntukkan kepada Ahli-ahli Parlimen sejak pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Mac lalu, masih lagi terdapat sebilangan daripada mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin.

Susulan itu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun diminta untuk mendedahkan senarai Ahli Parlimen yang masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 berkenaan.

Selain menyarankan perkara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap pada Sidang Khas Dewan Rakwat hari ini turut mendakwa antara alasan mereka yang belum mengambil vaksin adalah faktor kepercayaan agama.

“Kita tahu Speaker sudah umumkan ada beberapa Ahli Parlimen yang masih belum vaksin. Khabar angin mengatakan ada Ahli Parlimen tidak vaksin disebabkan soal kepercayaan.

“Saya harap kalau boleh Datuk Speaker dedahkan Ahli-ahli Parlimen itu kerana saya percaya pengambilan vaksin ini tidak bertentangan dengan agama malah ini adalah tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat,” kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan berkenaan.

Jumaat lalu, Azhar memaklumkan lebih 95 peratus Ahli Parlimen sudah mendapatkan kedua-dua dos vaksin, manakala 35 yang lain telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaskin

Sementara itu, empat Ahli Parlimen masih lagi belum mendapatkan suntikan vaksin atas sebab-sebab tertentu, bagaimanapun tetap dibenarkan hadir ke sidang khas Dewan Rakyat.

Dalam ucapan Akmal lagi, beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan kapasiti pemberian vaksin di bandar-bandar utama di seluruh negara memandangkan kawasan-kawasan ini mempunyai jumlah penduduk yang padat sekaligus dapat membenarkan sektor ekonomi dibuka.

“Kita mahu kawasan (bandar) ini dibuka segera. Masalah sekarang di Selangor sudah ada sedikit penyelesaian, cuma di kawasan bandar macam Johor Bharu, sampai perlu bergelut (untuk dapatkan vaksin) dan kita tidak mahu pengalaman seperti di Kuala Lumpur dan Selangor berlaku sehingga menyebabkan kes jangkitan meningkat dengan mendadak,” tambahnya.

Tambah Akmal lagi, bandar-bandar utama ini perlu dibuka dengan kadar segara kerana negara bergantung kepada ekonomi dan beliau mengharapkan operasi lonjakan kapasiti vaksin diutamakan di pintu masuk negara agar konsep gelembung di bandar-bandar ini termasuk di Johor Bharu dan Singapura boleh diperkenalkan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here