PRK: Calon PN akur larangan tidak berkempen di masjid, dekati 400 pengundi sehari

0
156

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LARANGAN kerajaan Johor untuk tidak berkempen di masjid atau surau sepanjang pilihan raya kecil di negeri ini perlu dipatuhi bagi mengelak perpecahan serta memelihara kesucian rumah ibadat tersebut.

Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar berkata, larangan itu perlu dipatuhi semua pihak semasa PRK Parlimen Pulai di sini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar.

Beliau berkata, larangan tersebut tidak menjejaskan kelancaran jadual kempen PN dan sejak mula berkempen tiga hari lalu, jentera gabungan itu memastikan pemilihan lokasi yang selamat, sesuai untuk berkempen dan mematuhi peraturan ditetapkan.

“Malah jentera PN juga memastikan lokasi dipilih itu mudah mendekati kumpulan pengundi. Sepanjang tempoh berkempen ini, kita akan berusaha mendekati kira-kira 400 pengundi setiap hari.

“Larangan ditetapkan kerajaan kita kena ikut dan wajib, kita tidak boleh bantah selain ia juga langsung tidak menganggu jadual.

“Kita mengetahui ia adalah tempat ibadah, saya pun tidak menggunakan baju parti ketika ke masjid atau surau selain menghormati larangan itu,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan ‘walkabout’ di gerai makan di Taman Kemas, Johor Bahru hari ini.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sudah menjadi kebiasaannya untuk memenuhi jadual yang padat.

“Saya bergerak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini selain saya kerap jalan jauh. Saya sudah biasa, namun kami menyesuaikan jadual mengikut cuaca,” katanya.

Zulkifli juga mengakui tidak asing dalam kalangan masyarakat tempatan kerana kelebihannya sebagai anak jati Tampoi.

Zulkifli yang juga usahawan kelahiran Tampoi berkata, beliau akan menggunakan tempoh kempen sepanjang 14 hari sebaiknya dengan memfokuskan keseimbangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

“Saya bersyukur kerana semua mereka sudah mengenali saya walaupun nampak dari jauh,” katanya.

Kerajaan negeri melarang semua pihak termasuk calon-calon yang bertanding dalam Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk berkempen di dalam masjid dan surau.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid menerusi suatu kenyataan pada Ahad menyatakan larangan itu bagaimanapun tidak membabitkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi atau pihak yang mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here