PRK DUN Pelangai: Pas Pahang serah tiga nama calon

0
194

PAS Pahang menghantar tiga nama calon kepada Pas Pusat untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, senarai nama bagi ketiga-tiga calon yang diterima daripada Bahagian Pas Bentong itu sudah diserahkan Majlis Syura Pas pada minggu lalu.

“Calon yang dipilih memenuhi kelayakan, terdiri daripada pemimpin aktif di Bentong dan boleh diterima serta disenangi masyarakat di kawasan itu.

“Kita tunggu dan bersedia terima keputusan daripada kepimpinan Pas Pusat, sesiapa sahaja dicadangkan dan dicalonkan kita akan terima.

“Jadi, apa- apa pun kita serah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat pilihan dan membuat pengumuman calon berkenaan,” katanya ketika memetik laporan Sinar Harian.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah itu berkata, persiapan menghadapi PRK kali ini akan diselaraskan dalam kalangan rakan gabungan PN.

Beliau menjangkakan beberapa siri mesyuarat akan diadakan bagi memastikan semuanya berjalan lancar menjelang hari penamaan calon.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

Pada 17 Ogos lalu, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Pada Pilihan Raya Umum PRU15, Johari menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here