Ibu, teman lelaki ditahan dera anak sampai mati

0
212

POLIS menahan seorang wanita dan teman lelakinya kerana disyaki mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mati.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu yang meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.

Katanya, pada mulanya pasangan tersebut membawa kanak-kanak itu ke hospital mendakwa mangsa cedera akibat terlanggar lori, lapor Harian Metro.

“Ketika menerima pesakit itu, pasukan perubatan memberi bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, namun tiada respons positif. Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera,” katanya.

Anbalagan berkata, laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran pukulan objek tumpul.

“Susulan itu polis menahan ibu mangsa yang berusia 44 tahun dan teman lelakinya berusia 29 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

“Wanita itu yang juga suri rumah didapati menjalin hubungan dengan lelaki berkenaan sejak suaminya meninggal dunia pada September 2022,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat, kedua-dua suspek mengaku mendera mangsa di kediaman mereka di sebuah pangsapuri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan.

Ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamin.

Menurutnya, pasangan itu direman tujuh hari hingga 29 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here