Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas -
Datuk Ahmad Yahaya

MCA, NGO tak wajar pertikai Modul Hadis 40 Imam Nawawi – Ulamak Pas

MCA dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam tidak wajar mempertikaikan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi untuk pelajar Islam.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, pembelajaran dan penghayatan hadis itu bukan suatu kesalahan yang perlu dibimbangkan.

“Modul tersebut ialah sebahagian daripada langkah menerapkan penghayatan akhlak dan nilai murni kepada pelajar berpandukan ajaran Islam.

“DUPP hairan bagaimana perkara sebegini begitu ditakutkan oleh sebilangan golongan bukan Islam.

“Adakah ia kelangsungan usaha untuk mencucuk jarum Islamofobia dalam negara yang menjadi perjuangan segelintir ahli politik sehingga setiap perkara berkait dengan Islam sangat dibimbangkan oleh kelompok bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Ogos lalu melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.

Kontroversi tercetus apabila Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah hasrat tersebut dan mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama.

Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA pula menggesa kerajaan menangguhkan terlebih dahulu agar ia boleh dibincangkan semula di peringkat Kabinet.

Ahmad berkata, DUPP memberikan peringatan kepada kelompok tertentu agar jangan mencetuskan sentimen Islamofobia di negara.

Katanya, pelaksanaan modul itu wajar disokong kerana ia berkait rapat dengan usaha mendekatkan pelajar kepada penghayatan kalam Rasulullah SAW yang merupakan sebahagian daripada panduan wahyu Ilahi.

“Tidak wajar sekali pertikaian mahupun sebarang bentuk bantahan dikemukakan apatah lagi oleh golongan bukan Islam terhadap modul tersebut.

“DUPP menyokong teguh langkah KPM memperkenalkan Modul Penghayatan 40 Hadith Imam Nawawi di sekolah-sekolah di bawah kementerian,” ujarnya, lapor Sinar Harian.