‘Presiden bukan punca sokongan UMNO merosot

0
125

TANGGUNGJAWAB kemerosotan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dipikul oleh semua pihak tanpa menyalahkan atau mendesak Presiden meletakkan jawatan.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

“UMNO Sabah melihat kemerosotan sokongan disebabkan banyak faktor, sebab itu kita perlu melakukan ‘post mortem’ bagi memperbaiki segala kelemahan dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama kepimpinan tertinggi parti, kepimpinan negeri, bahagian dan cawangan.

“Ini kerana selepas ini kita akan berhadapan pula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 di Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau menyatakannya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di Bangunan UMNO di sini pada Selasa.

Bung Moktar bagaimanapun berkata, kemerosotan sokongan kepada BN semasa PRN lalu perlu diambil iktibar.

“Kemerosotan sokongan semasa PRN tidak boleh melemahkan semangat kita untuk terus memperkasakan parti.

“Kita perlu terus berjuang tanpa terkesan dengan sentiman pihak lawan bahawa UMNO dan BN itu semakin lemah,” katanya.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mahu semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini merancang dengan rapi bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi terutama pengundi muda 18 tahun di kawasan masing-masing.

Katanya, golongan pengundi muda perlu kita ambil perhatian kerana mereka adalah segmen pengundi yang penting dan kritikal dalam menentukan kemenangan calon dan parti bertanding.

“Mengikut pecahan demografi pengundi baharu menunjukkan kira-kira 16 peratus dari 6.9 juta pengundi baharu mewakili kumpulan umur 18 hingga 20 tahun, kumpulan utama yang menjadi sasaran beberapa parti pada PRU akan datang,” katanya.

Bung Moktar memberitahu, kemenangan gabungan utama parti politik di negara ini yang membabitkan blok Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (PH-BN) serta Perikatan Nasional (PN) dalam PRN di enam negeri baru-baru ini juga bergantung kepada pengundi muda.

“Pengundi muda lebih terpengaruh dengan kempen melalui media sosial dan trend dalam politik walaupun tanpa literasi politik yang tepat, mereka mudah terpengaruh dengan kempen yang bersifat populis.

“Justeru terdapat keperluan daripada UMNO untuk memperhebatkan kempen bagi menggalakkan golongan muda ini terbabit dalam membuang undi semasa PRN atau PRU,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here