Nahas pesawat: Polis rakam keterangan tiga pemilik kamera papan pemuka

0
148

POLIS merakamkan keterangan tiga pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang berada di lokasi nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menyiasat kes berkenaan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata bagaimanapun, bagi Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) siasatan insiden itu akan dilaksanakan dari aspek nahas tersebut.

“Susulan itu saya meminta agar saksi kejadian tampil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan,“ katanya dalam sidang media nahas pesawat itu di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang hari ini.

Semalam, jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, penunggang p-hailing yang terkorban dalam nahas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah pada 4 petang.

Hari ini, sembilan lagi jenazah akan diserahkan kepada waris secara berperingkat bermula 9 pagi.

Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang melalui kawasan berkenaan ketika kejadian.

Ketika insiden, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here