Agong beri sumbangan peribadi kepada waris mangsa nahas Elmina

0
156

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam.

Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, sumbangan itu diserahkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin.

“Dalam kunjungan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang pagi hari ini, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari turut menyampaikan ucapan takziah Seri Paduka Baginda dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong kepada semua waris dan ahli keluarga atas pemergian mengejut insan tersayang mereka ke Rahmatullah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar semua keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu,” katanya, lapor Kosmo!.

Ujarnya, Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Sebelum ini, dalam insiden pada Khamis lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Persiaran Elmina mengakibatkan 10 orang maut.

Kesemua mangsa terdiri daripada dua orang anak kapal, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here