Nahas Elmina: Rakaman suara 30 minit terakhir pesawat berjaya diperoleh

0
270
Perakam suara kokpit pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis. Bulatan merah menunjukkan ‘memory puck’. (Gambar Kementerian Pengangkutan)

RAKAMAN suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.

“Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.

“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini, lapor BH Online.