Chandra jelaskan prestasi ‘memalukan’ UMNO, dan apa makna kejayaan PAS, DAP

0
151

AHLI akademik dan pengkritik sosial terkemuka Chandra Muzaffar menyifatkan prestasi UMNO dalam pilihan raya baru-baru ini sebagai “terburuk dan memalukan”, mengatakan trend penurunan sokongan dan penolakan pengundi terhadap parti itu adalah jelas kepada semua pihak kecuali bagi pimpinan tertinggi. 

Beliau berkata, walaupun isu rasuah yang melanda kepimpinan UMNO menjadi punca utama, namun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) itu juga menunjukkan hilangnya kelompok tengah yang pernah menerajui kerajaan suatu ketika dulu.

Beliau berkata ini dapat dilihat daripada keuntungan yang diperolehi PAS dan DAP dalam PRN enam negeri pada Sabtu.

Beliau berkata dalam kes PAS, rungutan seperti kenaikan kos sara hidup diluahkan melalui politik identiti.

“Rungutan sosio-ekonomi ini diluahkan melalui parti politik etno-agama. 

“Ini dapat dilihat dalam PRN. Ia berlaku pada pilihan raya umum 2022, tetapi paling jelas ditunjukkan dalam pilihan raya negeri ini: rasuah dan hubungan antara rungutan sosio-ekonomi dan politik identiti,” kata Chandra, salah seorang yang berperanan dalam gerakan reformasi pada akhir 1990-an dan pembentukan Parti Keadilan Nasional pada 1999, pelopor kepada PKR.

DAP dan naratif ‘warganegara kelas kedua’

Beliau berkata faktor yang sama menjelaskan “kejayaan besar” DAP dalam PRN, di mana ia memenangi semua kecuali satu daripada 47 kerusi yang ditandinginya. 

Beliau berkata sejak berkembang daripada PAP Singapura, parti itu sentiasa menjadi jurucakap kepada rungutan bukan Melayu. 

“Ini adalah bagaimana ia menggerakkan sokongannya, dan ia memainkan peranan dengan berkesan dalam setiap pilihan raya.” 

Namun, katanya apa yang lebih penting ialah bagaimana rungutan itu disuarakan, iaitu dengan berhujah bahawa orang bukan Melayu adalah “warganegara kelas kedua”. 

“Ia sangat berkesan apabila dibentangkan secara terang-terangan dan istilah perkauman yang begitu jelas. 

“Saya katakan ia adalah terang-terangan dan jelas kerana jika anda melihat kepada keseluruhan realiti dan keseluruhan landskap, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu benar-benar terpinggir atau mereka ditindas.”

Beliau berkata selain pencapaian ekonomi, hak budaya dan pendidikan yang diberikan kepada masyarakat Cina di Malaysia adalah unik jika dibandingkan dengan negara lain yang dijajah.

Beliau berkata walaupun beberapa rungutan bukan Melayu adalah benar, namun terdapat usaha “memutar belit dan mengelirukan” dalam mengutarakan perkara tersebut sehingga mewujudkan jurang antara orang Melayu dan bukan Melayu.

“Sebab inilah DAP dilihat dari sudut tertentu oleh orang Melayu, bukan hanya mereka dalam UMNO, iaitu disebabkan cara ia menyuarakan rungutan orang Cina,” kata Chandra sambil menambah bahawa perkara yang sama juga dilakukan PAS dalam menyalurkan rungutan orang Melayu.

“Saya tidak mengatakan gabungan yang memerintah sekarang tidak melakukan kesalahan serupa, mereka turut sama dalam permainan ini tetapi dengan cara yang berbeza dan untuk tujuan yang berbeza,” katanya lapor Malaysianow.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk bersikap jujur apabila bercakap tentang rungutan etnik, mengatakan kecenderungan untuk memperjuangkan sesuatu kaum adalah lebih berbahaya sekarang berbanding sebelum ini.

“Parti politik berasaskan etnik kini mendominasi. Gabungan politik masa lalu, walaupun lemah, namun dapat mengekalkan kelompok tengah. Kelompok ini sudah hilang, dan sebaliknya anda mempunyai kuasa dominan yang bercakap bagi pihak satu komuniti terhadap yang lain.” 

PRN baru-baru ini menyaksikan enam kerajaan negeri kembali kepada status quo, dengan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, manakala Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal di bawah PN. 

Rakan kongsi PH, Barisan Nasional (BN) yang hanya diwakili oleh Umno, ditewaskan sekali lagi oleh PN, hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, mengulangi kekalahan  pada pilihan raya umum November lalu apabila hanya memenangi 26 kerusi Parlimen. 

Sokongan besar orang Melayu terhadap PN juga menyaksikan gabungan itu menafikan majoriti dua pertiga PH di Selangor, menjadi lebih kuat di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

’Formula kemenangan’

Chandra berkata keuntungan PAS dalam PRN tidak mengejutkan, mengatakan parti itu dan UMNO mendapat manfaat daripada kelemahan antara satu sama lain pada masa lalu. 

Tetapi faktor yang lebih besar, katanya, ialah kebangkitan kesedaran Islam dalam kalangan orang Melayu, sambil menambah ini boleh dilihat dalam populariti pematuhan syariah dalam sektor perniagaan dan pendidikan, serta lebih ramai wanita Islam yang bertudung. 

Beliau berkata “formula kemenangan” PAS ialah kejayaannya menggabungkan personaliti agamawan dengan teknokratnya, sambil menambah ini dimainkan di Terengganu apabila pasukan teknokrat dan agama, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menguasai negeri itu di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“Inilah sebabnya mereka menukar kepimpinan di Kelantan,” katanya merujuk kepada keputusan PAS menjelang pilihan raya untuk menggugurkan Datuk Seri Ahmad Yakob dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah masing-masing sebagai menteri besar dan timbalan menteri besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here