Sekatan internet diteruskan, TikTok turunkan klip berita pendek Blok Ambalat

0
111

TINDAKAN kerajaan menyekat kandungan berita dalam talian diteruskan, dengan TikTok dilihat sebagai satu-satunya platform media sosial menurunkan klip video yang dikesan tidak memihak kepada kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam langkah terbaharu itu, TikTok mengeluarkan video dimuat naik MalaysiaNow, yang meringkaskan laporan berita mengenai blok kaya hasil minyak Ambalat di luar pantai Sabah, wilayah pertikaian antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut TikTok, video itu diturunkan atas faktor “integriti dan ketulenan”, tanpa memberikan sebarang sebab khusus lain.

Video berdurasi satu setengah minit itu berkisar mengenai dakwaan Malaysia menyerahkan perairan yang kaya dengan hasil minyak kepada Indonesia, dengan gambaran ringkasan pertikaian itu.

MalaysiaNow sedang merayu terhadap tindakan yang dilakukan penyedia platform video pendek itu.

Klip video tersebut tidak berniat menyebelahi mana-mana pihak dalam isu itu, dan berakhir dengan klip Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin menafikan dakwaan seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah bahawa Putrajaya menyerahkan blok Ambalat kepada Jakarta.

Penonton masih boleh menonton video tersebut di platform lain seperti Instagram, Facebook dan YouTube.(klik di sini).

Langkah menurunkan video itu dibuat hanya tiga hari selepas TikTok menyekat akaun TV Pertiwi di platform itu.

Sebelum ini, ia menyekat akaun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, meskipun ia kemudiannya dipulihkan. 

Semalam, TV Pertiwi mendapati laman sesawangnya disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pengawal selia internet yang terletak di bawah bidang kuasa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi setakat ini menafikan memberi sebarang arahan kepada SKMM untuk menyekat mana-mana laman sesawang, sambil menambah agensi itu mempunyai kuasa untuk melakukannya secara terus.

Pada Jun, Fahmi menerima kecaman daripada pelbagai pihak selepas laman sesawang MalaysiaNow disekat selama 48 jam.

Bagaimanapun, beliau menafikan terlibat dalam menyekat portal berita itu.

Sekatan yang sama juga dikenakan ke atas laman ulasan berita Malaysia Today yang dikendalikan oleh pengkritik kerajaan Raja Petra Kamarudin, dan sebuah laman blog dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen dari DAP, Wee Choo Keong.

MalaysiaNow tidak dapat mengesahkan sama ada sekatan terbaru oleh TikTok ini adalah berdasarkan permintaan daripada kerajaan Malaysia ataupun tidak.

Bagaimanapun, platform itu dilaporkan menjalinkan “kerjasama strategik” dengan kementerian diterajui Fahmi pada Disember lalu untuk menghapuskan kandungan berunsur “provokatif dan ekstremis” di media sosial.

Pengkritik berkata langkah itu direka untuk menghentikan pengaruh platform video yang memainkan peranan utama dalam menyebarkan mesej kempen Perikatan Nasional sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here