Zahid undur pun tak jadi apa, Umno perlu perbetul hala tuju – Tajuddin

0
165

PENGKRITIK Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno tidak akan pulih secara automatik jika presidennya berundur, sebaliknya ia perlu memperbetulkan hala tujunya terlebih dahulu.

Digantung keahliannya selama enam tahun bermula Oktober tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno kini diibaratkan seperti “seorang pesakit menghidap pelbagai penyakit kronik yang memerlukan pemerhatian doktor pakar”.

“Bukan mudah untuk diatasi harus ada pakar betul-betul mahir, buat analisa dan cari ubatnya.

“Masalah Zahid ini satu bab sahaja. Kalau Zahid tiada, ingat Umno automatik boleh pulih? Tetapi tidak juga bermakna beliau tak (sepatutnya) bertanggungjawab (terhadap prestasi buruk Umno)…beliau harus bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.

Desakan supaya Zahid bertanggungjawab dan meletak jawatan semakin kedengaran susulan prestasi buruk Umno pada PRN Sabtu lalu, menyaksikannya hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi iaitu 14 di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Selangor serta Pulau Pinang dan satu di Kelantan.

Di Terengganu dan Kedah semua calonnya kecundang termasuk tiga bekas menteri besar Ahmad Said, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Tajuddin yang digantung kerana kritikan terbukanya terhadap Zahid berkata, Umno harus kembali ke landasan perjuangannya iaitu mengangkat kedudukan orang Melayu dari segi ekonomi, pendidikan dan pembangunan.

“Orang Melayu hendak tengok itu,” kata Tajuddin, antara sosok kontroversi dalam Umno dan kerajaan kerana kelantangannya bersuara dalam sesuatu isu.

Mengulas sama ada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP memberi kesan kepada hala tuju Umno, Tajuddin berpandangan terdapat pemimpin Umno yang mengutamakan kepentingan individu melebihi segalanya menerusi gabungan berusia lapan bulan itu.

“Maknanya bila bekerjasama dengan DAP, dengan orang itu orang ini yang dipentingkan…perjuangan Umno itu sendiri tak lagi penting, agenda perjuangan orang Melayu tak lagi penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata beliau akan menganjurkan perhimpunan “Melayu Bangkit” di Pasir Salak pada malam 30 Ogos ini, terbuka kepada semua pemimpin dan parti yang simpati dengan perjuangan politik Melayu.

“Kita jemput semua, Tun (Dr Mahathir Mohamad) hendak datang pun boleh,” katanya, lapor FMT.

Lima tahun lalu, Tajuddin pernah menggerakkan inisiatif sama disokong PAS dan Umno ketika itu sehingga membawa kepada penubuhan Muafakat Nasional (MN) yang bagaimanapun berkubur menjelang PRU15 apabila kedua-duanya membawa haluan masing-masing.

PAS yang bergabung dengan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi menerusi “gelombang hijau” manakala Umno bawah Barisan Nasional (BN) bergerak solo, menyaksikannya hanya menang 30 kerusi.

Bagaimanapun, BN bergabung dengan PH, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan parti kecil lain untuk membentuk kerajaan pusat diketuai Presiden PKR Anwar Ibrahim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here