Muda putus pemilihan kepimpinan selepas pascanilai PRN

0
146

MUDA akan memutuskan bila ia akan mengadakan pemilihan kepimpinan selepas pascanilai prestasinya pada PRN Sabtu lalu, kata sumber.

Sumber yang juga seorang pemimpin Muda berkata, pada asalnya pemilihan parti dijangka diadakan hujung tahun depan.

“Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa ia mungkin diadakan lebih cepat,” katanya, lapor FMT.

Muda dikritik hebat oleh penyokongnya selepas mengalami satu lagi prestasi memalukan pada PRN 12 Ogos lalu, apabila semua 19 calonnya hilang deposit.

Sebelum ini, Presiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan kerusi Muar pada PRU15 November lalu, dan beliau satu-satunya daripada lima calon yang menang pada pilihan raya itu.

Pada PRN Johor awal tahun lalu Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz satu-satunya daripada tujuh calon yang menang, di kerusi Puteri Wangsa.

Sumber itu berkata, perkara tersebut akan dibincangkan secara terperinci selepas pascanilai untuk PRN.

“Pascanilai Negeri Sembilan akan diadakan Jumaat ini dan Selangor dijangka berlangsung minggu depan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli Muda yang enggan dikenali berkata mereka tidak berpuas hati dengan situasi semasa terutama selepas semua calon kehilangan deposit.

“Biar kita buat pascanilai dulu, baru kita buat pengumuman lanjut mengenai pemilihan pucuk pimpinan,” katanya.

Pada Ahad, ahli Muda Danial Jafri menggesa parti itu mengadakan pemilihan susulan prestasinya pada PRN lalu.

Danial berkata, gesaan itu selaras tuntutan ahli akar umbi supaya parti menangani perkara dalaman dan memperbaiki strukturnya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) mesti berundur dan bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here