Panik langgar isyarat merah, pemandu Vios pecut lari dari polis

0
195

POLIS mengesahkan kejadian kereta peronda polis mengejar kenderaan awam sejauh satu kilometer seperti yang tular di media sosial kerana melanggar lampu isyarat merah, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata pihaknya mengesan satu video menerusi TikTok memaparkan kereta polis mengejar Toyota Vios.

“Kejadian itu berlaku jam 11 malam, Selasa lalu di Taman Sijangkang Jaya, Telok Panglima Garang.

“Semasa kejadian, anggota bertugas melihat kereta itu melanggar lampu isyarat merah di Batu 7, Sijangkang.

“Anggota polis mengarahkan kereta itu berhenti tetapi kenderaan terbabit sebaliknya terus memecut memasuki ke Taman Perumahan Sijangkang Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, anggota polis dapat menahan kenderaan terbabit dan pemeriksaan mendapati Toyota Vios dipandu lelaki tempatan berumur 41 tahun selain isteri dan tiga anaknya turut berada dalam kereta.

“Siasatan mendapati pemandu memberi alasan panik selepas diarahkan berhenti oleh polis lalu memecut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan itu tiada membawa apa-apa barang salah dan anggota mengeluarkan satu saman POL. 257 kepada pemandu itu.

“Saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah (Kaedah Rule LN167/59-017) yang mana kesalahan ini boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here