Cermin diri bukannya salahkan anak muda dan ‘hidangan KFC’, penganalisis beritahu UMNO

0
179

UMNO tidak perlu menyalahkan pihak lain atas prestasi buruk mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu, yang menyaksikan mereka hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di enam negeri, kata penganalisis. 

Profesor Sains Politik, Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan berkata, kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Nur Jazlan Mohamed mengenai anak muda “disogok dengan KFC” untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) merupakan refleksi budaya politik yang diasuh oleh UMNO selama lebih 50 tahun.

“UMNO terus hilang sokongan Melayu kerana kepimpinan parti itu semakin terpisah dengan pengundi Melayu luar bandar. 

“UMNO tidak menyantuni Melayu bandar walaupun golongan itu terhutang budi kepada UMNO,” katanya kepada MalaysiaNow. 

Katanya, parti itu tidak mengendahkan golongan Melayu pertengahan yang menyebabkan mereka tidak lagi berterima kasih kepada UMNO. 

UMNO yang terkenal dengan kubu kuatnya di kawasan luar bandar, hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, serta satu kerusi di Kelantan. 

Di Kedah dan Terengganu, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi. 

UMNO mencatatkan prestasi yang agak baik di Negeri Sembilan dengan memenangi 14 daripada 17 kerusi yang ditandingi. 

Nur Jazlan yang juga ketua UMNO Bahagian Pulai mempertahankan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didesak berundur susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN). 

Antara pemimpin yang mula bersuara termasuklah bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Isham Jalil selain ketua pemudanya, Dr Akmal Salleh. 

Zahid yang juga timbalan perdana menteri dilihat menjadi punca penolakan pengundi terhadap UMNO yang bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 30 kerusi Parlimen. 

Mereka turut tewas di kerusi-kerusi yang dianggap deposit tetap kepada BN, seperti Gerik dan Tanjung Karang.

Menurut Jayum, walaupun usaha Nur Jazlan mencari punca kekalahan itu satu perkara yang bagus, menyalahkan anak muda tidak akan diterima baik oleh golongan tersebut. 

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib pula berkata, kenyataan Nur Jazlan itu boleh dilihat daripada beberapa perspektif. 

“Kita boleh sahaja mengatakan UMNO dalam penafian untuk mengaku kelemahan dan kebobrokan pemimpinnya. 

“Walaupun ada isu berkenaan pengundi muda yang tiada pendedahan tentang demokrasi atau hubungan politik dan negara, ia bukan sebab UMNO kalah,” katanya. 

Menurut Kartini, ketiadaan literasi pengundi muda diakui boleh menyebabkan undi rosak dan pilihan raya lesu dengan kadar peratusan yang rendah. 

Menurut beliau, parti Melayu itu tewas kerana turut gagal mendapat undi orang-orang lama.

“Sejarah perjuangan UMNO diajar dalam silibus sekolah, dan tokoh seperti Onn Jaafar sangat dikenali.

“Mungkin semangat patriotisme telah berevolusi kepada ketaatan kepada raja, dan mematuhi undang-undang,” katanya. 

Dalam pada itu, Jayum berkata, UMNO membawa beban memandangkan beberapa pemimpin mereka masih mempunyai isu-isu kredibiliti dan integriti yang terpalit dan belum selesai. 

Zahid sendiri masih mempunyai 47 kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang sedang dibicarakan.

“Orang ramai mula mempersoalkan kualiti pemimpin. Mereka mahukan perubahan, menunggu perubahan dan apabila perubahan tidak sampai, mereka sendiri melakukannya. 

“Kos dan aibnya sangat besar. Soalan yang sebenarnya selepas ini- bolehkah UMNO diselamatkan?” 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here