AGC siasat ‘memo bocor’ cadang gugur pertuduhan pada Najib

0
312

JABATAN Peguam Negara (AGC) menyiasat dakwaan dokumen bocor berkaitan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bagaimanapun enggan mengulas berkaitan kandungan dokumen 12 halaman itu.

“Kami sedang siasat kebocoran dokumen itu,” kata Idrus kepada The Star.

Dokumen itu didakwa sebagai memo dalaman dari pasukan pendakwaan International Petroleum Investment Company (Ipic) kepada bekas peguam negara Tommy Thomas.

Salinannya juga dikatakan dihantar kepada ketua pendakwaan AGC Manoj Kurup.

Dokumen pada 2019 itu, yang kemudian tular, mencadangkan enam pendakwaan terhadap kes rasuah Najib dan Irwan digugurkan atas alasan pihak pendakwaan merasakan kes prima facie yang kukuh tidak dapat dikemukakan kepada mereka berdua.

Sementara itu, Thomas berkata dia tidak ingat berkaitan dakwaan memo itu.

“Pengunduran saya pada Februari 2020 tidak dijangka, dan saya tinggalkan (pejabat) tanpa ambil satu fail pun.

“Justeru, saya tidak ingat semua ini, kerana saya sekarang tiada akses kepada fail AGC,” katanya.

Najib dan Irwan pada 2018 dituduh bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah melibatkan dana kerajaan RM6.6 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here