Lelaki maut dilanggar forklift dipandu rakan sekerja di kawasan kilang

0
170

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG pekerja lelaki warga tempatan berumur 39 tahun maut selepas dilanggar jentera forklift semasa berjalan kaki dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Prai, Butterworth, Pulau Pinang,10 Ogos lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mangsa dikejarkan ke hospital berdekatan pada hari kejadian dan Pegawai Perubatan telah membuat keputusan memotong kaki mangsa pada 12 Ogos lalu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital pukul 9 malam kelmarin.

Sehubungan itu, jelasnya, sepasukan pegawai penyiasat JKKP Pulau Pinang telah diarahkan ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima pemberitahuan mengenai kejadian tersebut hari ini.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan pekerja di kilang tersebut dilanggar forklift yang dipandu pekerja lain semasa melintas di laluan sama yang menyebabkan kecederaan parah pada kaki kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, susulan kejadian tersebut, JKKP telah mengeluarkan satu notis larangan dan kerja-kerja memunggah barangan menggunakan forklift di lokasi kejadian dihentikan serta merta sehingga siasatan selesai dijalankan.

Tambahnya, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Ujarnya, JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja.

“Majikan juga bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here