Pas alu-alukan keputusan mahkamah, anggap Muhyiddin mangsa pertuduhan terpilih

0
148

PAS mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dari awal lagi, Pas telah menjangkakan keputusan itu kerana yakin bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas Muhyiddin  yang juga bekas Perdana Menteri ke-8 dan Presiden Bersatu merupakan pertuduhan terpilih dan berbaur politik.

‘’Kami sebagai sekutu Bersatu di dalam PN sememangnya pasti bahawa (tuduhan itu) ia satu perancangan untuk melemahkan PN, namun saya tidak nampak ia akan menjejaskan prestasi kita, malah telah menambahkan lagi sokongan kepada kita dalam pilihanraya negeri di enam buah negeri Sabtu lalu,’’ katanya dalam kenyataan, lapor Warta Rakyat.

Beliau berkata, Pas menentang sekeras-kerasnya penyalahgunaan agensi penguat kuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik. Jelas, pendakwaan ke atas Muhyiddin adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang.

‘’Pas turut yakin bahawa tindakan terhadap Tan Sri Muhyiddin itu juga adalah bagi menutup aib dan melencongkan perhatian rakyat dari isu yang berlaku di dalam UMNO  yang menjadi sebahagian dari Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pas berdoa semoga Tan Sri Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,’’ katanya.

SEMENTARA ITU, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Peguam Negara mengkaji semula semua pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas pemimpin gabungan itu.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak peguam negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional untuk tujuan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di Facebook.

Menurut Hamzah, keputusan itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan-BN telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyerang pemimpin PN dan menyeru rakyat supaya bangkit dan menolak pentadbiran persekutuan.

“Kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin Perikatan Nasional terbukti di mahkamah hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here