SEKEJAP naik,sekejap turun itu antara keluhan peniaga dan orang ramai apabila harga ayam dilihat tidak konsisten dan berubah dari semasa ke semasa.
Tinjauan SatuBerita di pasar raya dan kedai runcit sekitar Gombak,Selangor mendapati rata-rata peniaga menjual harga ayam segar sekitar RM8.79 hingga RM9.40 sekilogram.
Peniaga, Maulana Affendi,30 berkata dia terpaksa jual ayam pada harga mahal kerana pembekal turut menaikkan harga bahan mentah itu.
“Takkan kalau pembekal jual pada harga tinggi saya beli pada harga rendah. Sudah tentu saya juga akan jual pada harga yang munasabah atau harga boleh dapat untung.
“Tidak logik kalau saya berniaga tapi rugi. Minggu lepas memang ada sekejap harga ayam turun iaitu RM7 tetapi hanya beberapa hari sahaja dan sampai sekarang kekal RM9.40 termasuk upah potong ,” katanya kepada SatuBerita pada Selasa.
Menurut Maulana, dahulu beliau hanya bermodalkan RM500 untuk beli seguni ayam dan mendapat untung dalam 50 sen, tetapi sekarang modal beliau naik mencecah RM1,000 tetapi masih dapat untung yang sama.
“Sekarang,jika kita borong ayam pembekal tidak beri invois kerana takut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan periksa invois. Jadi sekarang mereka hanya beri resit biasa,” katanya.
Suri rumah,Norlela Mohd Suhaimi 51, dia menyedari kenaikan harga ayam sejak pertengahan tahun ini dan paling ketara sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Sebagai ibu,sayalah yang akan beli barang basah untuk keluarga. Memang betul harga ayam naik mendadak. Sebelum ini saya beli di kedai Aceh RM 7 sekarang di pasar raya ini mencecah RM9.39 sekilogram.
“Walau mahal,terpaksa beli juga kerana anak-anak suka makan ayam. Walau pun bukan hari-hari tetapi dalam seminggu akan ada lauk berasaskan ayam,” katanya.
Beliau turut berharap,kenaikan harga ayam akan segera dapat diatasi bagi membolehkan rakyat membeli dalam keadaan tenang dan seronok.
“Kalau harga barang terus naik macam ini, kami (rakyat) tidak seronok dan seakan berkira-kira untuk berbelanja. Saya harap kerajaan dapat kawal harga barang seperti sebelum ini,” katanya.
Muhammad Zikri Nasarudin, 32 pula mendakwa kenaikan harga ayam yang melampau disebabkan kenaikan harga ubat-ubatan bahan mentah itu seperti dedak dan sebagainya.
“Saya ada kawan dalam industri ini dan mereka mendakwa kenaikan harga ayam dikawal oleh kartel barang mentah akibat kenaikan harga ubat -ubatan yang disuntik pada bahan mentah itu naik mendadak termasuk dedak.
“Saya tidak pasti kesahihannya tapi itu antara faktor dipercayai penyebab harga ayam naik. Sudah dua minggu saya beli ayam pada harga berbeza iaitu sebelum PRN RM6.90 sekarang RM8.79,” katanya.
Bapa kepada dua anak itu turut mendakwa, kuasa beli pengguna semakin berkurang kebelakangan ini ekoran kenaikan harga barang yang tidak terkawal.
“Saya harap,pihak yang berkenaanboleh kembalikan semula kuasa pembeli seperti dahulu dan turunkan harga barang asas kerana ia adalah keperluan harian rakyat,” katanya.