Shuhaily dilantik Pengarah JSJ berdasarkan pengalaman,prestasi – KPN

0
210

PEMILIHAN Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) baharu adalah berdasarkan pengalaman dan prestasinya yang baik sebagai bekas Ketua Polis Pulau Pinang dan Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kemampuan ditunjukkan Mohd Shuhaily itu akan dapat memberi keyakinan serta kebaikan kepada JSJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mohd Shuhaily mempunyai pengalaman luas kerana beliau pernah bertugas dalam Cawangan Khas dan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Teluk Intan sebelum ini.

“Selain itu, pemilihan senarai nama calon Pengarah JSJ bukanlah satu nama sebaliknya empat nama dicadangkan untuk menjawat jawatan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah JSJ di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini, lapor BERNAMA.

Razarudin berkata nama-nama calon berkenaan disediakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Seri Azmi Abu Kassim, dan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dipertimbangkan bagi mengisi jawatan Pengarah JSJ.

“Pemilihan Pengarah JSJ ini hasil perbincangan antara saya dan Datuk Seri DIG (Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay) untuk dibawa kepada Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail).

“Ada nama-nama dicalonkan terdiri daripada pegawai kanan polis mengikut senioriti yang mempunyai kredibiliti, pengalaman dari segi umur dan integriti. Saya hendak jelaskan bahawa pemilihan nama Pengarah JSJ (Mohd Shuhaily) ini bukan diambil daripada hand-picked sebaliknya ia adalah keputusan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.

Terdahulu, Razarudin memakaikan lencana pangkat CP kepada Mohd Shuhaily sebagai Pengarah JSJ yang baharu berkuat kuasa hari ini, disaksikan Ayob Khan dan Azmi.

Mohd Shuhaily sebelum ini merupakan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai tempoh kekosongan jawatan Pengarah JSJ yang dikatakan mengambil masa lama, Razarudin menjelaskan perkara itu melibatkan pelbagai pihak termasuk SPP untuk bersidang.

Semalam, Mohd Shuhaily menyerahkan tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur kepada Datuk Allaudeen Abdul Majid yang dilantik ke jawatan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here