PN Negeri Sembilan anggap menang lima kerusi permulaan baik

0
187

KEMENANGAN lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelmarin, disifatkan sebagai satu permulaan yang baik kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata pencapaian lima kerusi itu disifatkan satu permulaan yang baik di negeri Adat Perpatih ini selepas tidak memiliki sebarang kerusi dalam DUN sebelum ini.

“Alhamdulillah, PN sudah mula bertapak kerana sebelum ini langsung tidak ada… kosong (kerusi), sekarang kita sudah ada lima kerusi.”Ini bermakna kita akan ada wakil di Dewan Undangan Negeri untuk membawakan suara pengundi,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri itu.

Mengulas kekalahan PN di beberapa kerusi dengan majoriti sangat tipis seperti di DUN Lenggeng dan Sungai Lui, beliau menyifatkan itu sebagai pencapaian yang baik dalam pilihan raya kali ini.

“Dengan pencapaian dengan majoriti yang kecil ini dan ia tidak akan mematahkan semangat bagi calon-calon kita di DUN berkenaan.

“Saya juga percaya bahawa gerak kerja akan diteruskan untuk kita memikirkan semula, melihat semula, malah melipatgandakan usaha bagi mengatasi sebarang kelemahan yang ada

“Jadi ini saya percaya ini akan menjadi satu dorongan galakan kepada pengundi-pengundi di DUN-DUN berkenaan,” katanya di Port Dickson, hari ini.

Rafiei turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti, sama ada tempatan dan negeri berjiran dari Melaka, Pahang dan Johor yang banyak membantu serta bekerja keras sehingga berjaya mencapai keputusan itu.

“Bagi pihak PN Negeri Sembilan, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada negeri-negeri bantu juga kepada jentera-jentera tempatan Negeri Sembilan.

“Saya kira apa yang dilakukan itu usaha yang bersungguh-sungguh adalah suatu petunjuk bahawa kita sebenarnya sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menghadapi pilihan raya,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here